CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, May 18, 2008

Di mana Langit Dijunjung

Entah kenapa, saya teringin untuk menulis di dalam bahasa Melayu, dahulunya dikenali sebagai bahasa Malaysia, di zaman persekolahan saya. Setelah sekian lama menulis di dalam bahasa penjajah, saya mendapati bahawa bahasa negara saya semakin terkikis dari benak bahkan menaipnya juga tersangatlah lambatnya, dibandingkan sekiranya menaip di dalam bahasa Inggeris.

Setelah berfikir beberapa jenak, saya memutuskan untuk menggunakan nama pena Langit Dijunjung untuk penulisan saya di dalam bahasa Melayu. Entah kenapa tiba-tiba pepatah Melayu lama in timbul di benak saya semasa memikirkan apakah tajuk yang sesuai sebagai pembuka tirai blog bahasa Melayu saya yang ulung kalinya.

Saya rasa tajuk di atas sangat bersesuaian dengan keperluan saya untuk mencari satu tajuk yang mempunyai makna berlapis, berkias dan juga dikenali secara am.

Di Mana Langit Dijunjung boleh dianggap sebagai suatu pertanyaan di mana saya berada sekarang. Adakah pada ketika ini, LD akan menjadi lebih kreatif, menangani isu-isu semasa disamping berkongsi pendapat bersama pembaca?

Langit Dijunjung juga merasakan, tajuk ini juga amat bersesuaian dengan perasaan kebanyakkan rakyat Malaysia masa kini. Apa tidaknya, semua rakyat Malaysia boleh dikatakan telah lahir di sini dan tidak mengenali bumi lain selain dari bumi tanah tempat tumpah darah ini tetapi kadang-kadang Langit Dijunjung terasa seperti senantiasa dipinggirkan hanya kerana warna kulit. Apakah kerajaan Langit Dijunjung yang bersungguh-sungguh menentang Apartheid secara tidak sedar turut mengamalkannya? Tidakkah yang ruginya, kerajaan kita sendiri, rakyat kita sendiri. Pepatah Inggeris menyatakannya dengan tepat, "Prosper Thy Neighbour" atau terjemahannya, majukanlah jiran anda. Jika difikirkan secara munasabah, betul juga apa yang diura-urakan atau dinasihatkan ini kerana jiran yang maju akan membawa kemajuan secara sendirinya.

Sebagai permulaan, Langit Dijunjung rasa tajuk ini amat mencerminkan perasaan dan hati Langit Dijunjung dibumi tercinta ini. Bagi Langit Dijunjung, walaupun seringkali melawati negara-negara lain, tetapi setiap kali bila mencecah bumi Malaysia ini semula, terasa amat bahagia dan gembira sekali, suatu jenis perasaan yang amat sukar hendak dijelaskan, hanya orang yang dapat merasakannya sendiri yang tahu jenis perasaan begini.

Langit Dijunjung sebenarnya tidak pasti apa tema atau konsep penulisan yang akan menuruti pembuka tirai ini tetapi akan dicuba untuk membuatnya lebih menarik dan dapat mengisi kekosongan jiwa para pembaca disamping dapat membantu Langit Dijunjung meluahkan isihati kepada yang berminat.

Sekian...

Langit Dijunjung